Story Transcript
Varian baharu COVID-19
Kekang virus varian Omicron PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengumumkan varian baharu Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC). Kali pertama dilaporkan di Botswana dan Afrika Selatan pada 24 November lalu, varian ini merebak ke pelbagai negara di benua Afrika, Eropah, Asia dan Australia. 'Keistimewaan' varian baharu ini ialah bilangan mutasinya yang luar biasa, iaitu 50 mutasi yang menggabungkan beberapa mutasi VOC sebelumnya (Alpha, Beta, Gamma, dan Delta). Saintis masih berupaya mengetahui sama ada varian ini lebih mudah berjangkit dan berbahaya. Tetapi WHO memberi petunjuk awal bahawa varian ini memiliki peluang yang lebih tinggi untuk menjangkiti semula individu yang sembuh daripada COVID-19. Vaksin lengkap bantu kawal virus Mengulas lanjut, Pakar Kimia Perubatan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Bimo Ario Tejo, berkata kehadiran varian Omicron memberi tamparan hebat kepada usaha pemulihan ekonomi dunia. Katanya, pasaran saham terjejas dan pelbagai negara sekali lagi mengenakan sekatan penerbangan, terutama dari negara di benua Afrika. "Program vaksinasi global bermula setahun lalu dan terdapat banyak jenis vaksin digunakan di pelbagai negara.
"Di Malaysia sahaja, lebih 77 peratus penduduk lengkap divaksin. Tetapi mengapa varian baharu masih muncul dan menyebabkan kegoncangan global?," katanya. Dr Bimo Ario berkata, pertama ketidakadilan pengagihan vaksin antara negara miskin dan kaya. Sehingga kini, lebih 60 peratus penduduk negara berpendapatan tinggi diberi vaksin sepenuhnya. "Tetapi hanya 10 peratus rakyat Afrika divaksin walaupun mereka membayar kos lebih tinggi untuk mendapatkan vaksin," katanya. Pengarah Pusat Tindak Balas dan Inovasi Epidemik Afrika Selatan, Tulio de Oliveira bersama 300 saintis memberi amaran dalam artikel diterbitkan dalam jurnal Science varian baharu boleh muncul di Afrika jika benua itu tidak dibantu oleh negara kaya dalam pencegahan dan pengawalan wabak COVID-19. "Kita tidak perlu terkejut ketika varian Omicron muncul di Botswana dan Afrika Selatan. Peratusan vaksinasi yang rendah menjadi pemangkin kepada kemunculan varian baharu di Afrika. "Pada masa sama, 500 juta dos vaksin tidak digunakan di negara maju," katanya. 9 vaksin COVID-19 Fakta kedua, katanya mereka mengutamakan penyelidikan dan penemuan vaksin tetapi tidak memberi tumpuan yang sama kepada penemuan ubat. Pada masa ini, terdapat sembilan jenis vaksin COVID-19 yang mendapat kelulusan penuh, 19 vaksin menerima kelulusan penggunaan kecemasan (EUA), dan lebih daripada 100 vaksin dalam fasa percubaan klinikal. Tetapi hanya satu ubat antivirus sudah menerima EUA daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), iaitu Veklury (remdesivir). Ubat antivirus Lagevrio (molnupiravir) dan Paxlovid (PF-07321332/ritonavir) masih dalam proses permohonan EUA. Tiada vaksin 100 peratus berkesan Beliau menegaskan, tiada vaksin yang 100 peratus berkesan. Katanya, jangkitan COVID-19 pada individu sudah divaksinasi masih boleh berlaku terutama pada individu dengan kekebalan lemah. Saintis mengesyaki kemunculan varian Omicron di Afrika bermula daripada individu dengan kekebalan terkompromi yang disebabkan oleh HIV. "Oleh itu, ubat penawar COVID-19 tetap diperlukan walaupun kita memiliki pelbagai jenis vaksin yang berkesan. "Berbeza dengan vaksin yang keberkesanannya boleh terjejas oleh varian baharu, keberkesanan ubat antivirus COVID-19 tidak mudah terjejas oleh varian baharu.
"Ubat antivirus secara amnya berfungsi pada protease dan RdRp, dua komponen virus SARS-CoV-2 tidak mengalami mutasi seperti bahagian spike menjadi sasaran vaksin. "Kita mesti belajar daripada kejayaan mengawal penyakit tibi melalui vaksin dan ubat berkesan, di samping usaha pencegahan melalui langkah kesihatan awam," katanya. Kaji sumber semua jadi untuk COVID-19 Malaysia sudah menunjukkan komitmen serius terhadap pembangunan vaksin dengan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), baru-baru ini. Komitmen sama perlu ditunjukkan dalam pembangunan ubat antivirus untuk COVID-19. Justeru, Malaysia perlu mengambil langkah membangunkan ubat COVID-19 sendiri. "Malaysia memiliki banyak sumber semula jadi. Ada kemungkinan kita boleh mendapatkan ubat penawar COVID-19 daripada itu. Sebagai contoh vancomycin, iaitu ubat antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan bakteria, diekstrak dari mikrob Amycolatopsis orientalis diperoleh dari hutan Borneo pada 1953. Kajian ubat penawar COVID-19 berasal daripada sumber semula jadi harus menjadi tumpuan penyelidikan di Malaysia. "Negara Barat, malah memberi perhatian serius terhadap keberkesanan ubat herba untuk rawatan COVID-19. Sebagai contoh, FDA baru-baru ini meluluskan kajian klinikal Ubat Herba dan Cendawan Cina Untuk COVID-19 (MACH-19) di Universiti California Los Angeles dan San Diego. "Dengan pengagihan vaksin lebih adil, penemuan ubat lebih berkesan dan pelaksanaan langkah kesihatan awam berterusan, kita berharap tiada lagi kebimbangan berikutan munculnya varian baharu di masa hadapan mengganggu usaha untuk kembali kepada kehidupan normal," katanya.
COVID-19: Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan kes pertama varian yang dibimbangi (VOC) Omicron di negara ini, melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun, kata Menterinya Khairy Jamaluddin. Beliau berkata, individu tersebut merupakan seorang pelajar universiti swasta di Ipoh, Perak, dan telah didapati positif COVID-19 pada 19 November lepas, dan telah selesai menjalani kuarantin kendiri pada 29 November lepas. Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kes itu didapati daripada ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan terhadap 74 sampel positif COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA, antara 11 November hingga 28 November, 2021. “Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu daripada sampel telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron. Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021. “Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research - IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif COVID-19 dengan CT Value 26.68, pada 20 November 2021, sebelum jujukan genom mengesahkan ia VOC Omicron pada 2 Disember. Pengesanan kontak rapat, ujian saringan dan kuarantin wajib, katanya lagi, telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang, dan saringan awal mendapati mereka kesemua negatif. Dalam pada itu, Khairy berkata, langkah pengesanan awal Omicron dilakukan lebih awal, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan ia sebagai varian yang dibimbangi (VOC) pada 24 November lagi. “Kes ini menunjukkan surveillance genomic kita dapat mengesan varian baharu, dan kedua, oleh kerana kes ini berlaku pada 19 November, sebab itu kita buka balik kes dahulu, untuk kita laksanakan PCR Genotyping Assay, dan seterusnya lakukan whole genomic sequencing, kita dapati sistem kita berkesan.
“Sama ada kuarantin kita, pengesanan kontak rapat kita, pre-departure dan on arrival kita berkesan, dan dalam kes ini … walaupun kes import, tapi oleh kerana sistem kita berkesan, kes ini setakat ini tidak menyebabkan kes lain berlaku dari indeks kes tersebut,” katanya lagi. Namun, Khairy berkata, KKM akan terus mempergiatkan usaha untuk meningkatkan jumlah peratusan dos lengkap bagi populasi keseluruhan negara, serta mensasarkan sehingga 75 peratus untuk dos penggalak.
Kes Omicron di Malaysia: Tiada kes positif mendadak di Ipoh PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjalankan pengesanan kontak rapat kepada kes pertama varian Omicron yang dikesan di Malaysia melibatkan semua penumpang bas dan pemandu yang dinaiki kes berkenaan dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Ipoh, Perak. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia melibatkan seramai lima orang dan kesemuanya menjalani saringan ujian Covid-19 dan kuarantin wajib dengan ujian sampel pertama dan kedua disahkan negatif. “Kita telah melaksanakan pengesanan kontak mendalam terhadap kes ini termasuk mereka yang ada di dalam pesawat dan kawasan sama dikunjungi kes di KLIA. Siasatan masih diteruskan untuk pastikan tiada jangkitan seterusnya pada orang lain. “Walaupun wujud kes varian Omicron ini, tidak ada peningkatan mendadak kes Covid-19 di Ipoh atau mana-mana tempat yang telah dihadiri kes tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Terdahulu, Khairy memaklumkan, kes pertama positif varian Omicron itu melibatkan seorang pengembara wanita bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba di Malaysia pada 19 November lalu. Katanya, individu tersebut merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura. Beliau menjelaskan, kes menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa KLIA dan kes diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). “Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel ujian saringan dengan CT Value 26.68 pada 20 November. Kes diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). “Susulan itu, kes menjalani kuarantin wajib 10 hari di penginapan (apartment) disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya. Beliau berkata, kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, dia patuh kepada perintah yang dikeluarkan. Dalam pada itu, Khairy berkata, pelajar tersebut telah melengkapkan dua dos vaksin Pfizer di Malaysia pada 29 September lalu sebelum pulang ke Afrika Selatan untuk melawat keluarganya di sana.
Sepanjang tempoh kuarantin, kata Khairy, dia tidak mengalami sebarang gejala, malah menjalankan kuarantin di rumah berseorangan dan tidak ke mana-mana dan dua lagi rakan serumahnya diminta tinggal di rumah lain sekali gus kes tidak bercampur dengan sesiapa. “Kes tersebut tamat kuarantin pada 29 November serta dipotong gelang oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta. “Berikutan itu, katanya, Kementerian Kesihatan memanggil semula lapan kontak rapat termasuk kes tersebut untuk menjalani ujian saringan sekali lagi hari ini,” katanya. Mengulas lanjut, Khairy berkata, kes pertama yang dikesan ini adalah sebelum pengumuman oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung varian baharu tersebut pada 24 November. “IMR menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 74 sampel positif Covid-19 yang dikesan di KLIA dari tempoh 11 November hingga 28 November. Ujian PCR Genotyping Assay dijalankan bagi mendapatkan keputusan awal jenis varian,” katanya.
Omicron: Jangan cepat panik, relaks dan teruskan SOP Ketika seluruh dunia termasuk Malaysia sedang bertatih untuk kembali mengatur langkah selepas tersungkur dek bahana varian Delta yang mendominasi pandemik COVID-19, timbul pula perkhabaran tentang strain baharu yang mungkin lebih berbahaya. Berita tidak enak itu mencetuskan kebimbangan akan kemungkinan perlu kembali hidup di bawah sekatan pergerakan, selain berlaku lonjakan kes yang menyebabkan kesesakan di hospital dan lebih banyak kematian, sedangkan rakyat baru sahaja menikmati sedikit kebebasan. Ditambah pula Sarawak bakal menghadapi pilihan raya negeri yang telah tertangguh selama berbulan-bulan. Dikesan oleh saintis di Afrika Selatan pada 24 Nov lepas, kemunculan varian Omicron membawa bersama pelbagai persoalan yang sehingga kini belum terjawab. Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah, Nazihah Muhamad Noor memberitahu Bernama ada tiga perkara yang perlu diambil kira oleh pihak berkuasa dalam mendepani Omicron. “Kita perlu tunggu dan lihat jika negara-negara yang merekodkan kes Omicron turut mencatatkan peningkatan kes domestik, pertambahan kemasukan ke hospital dan kematian. Kita juga perlu tunggu dan lihat kesan strain baharu ini terhadap keberkesanan vaksin COVID-19 sedia ada,” katanya. Bagaimanapun pakar berpandangan hakikat Omicron diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian membimbangkan (VoC) dalam tempoh yang begitu singkat sudah cukup membimbangkan. Ketika laporan analisis ini ditulis, varian itu dikesan di sekurang-kurangnya 38 negara termasuk Malaysia. Malaysia melaporkan kes Omicron pertamanya pada 2 Dis lepas, iaitu seorang pelajar berusia 19 tahun yang kembali ke negara ini selepas pulang ke kampung halamannya di Afrika Selatan, namun hingga kini tidak ada bukti menunjukkan berlaku jangkitan dalam komuniti. Lebih mudah berjangkit? Berdasarkan laporan berita, ada petunjuk bahawa Omicron sangat mudah berjangkit. Di Afrika Selatan, jangkitan melonjak empat kali ganda pada minggu lepas, dari 4,373 kes pada 30 Nov kepada 16,055 pada 3 Dis. Hanya sekitar 24 peratus daripada populasi di negara berkenaan telah lengkap dos vaksinasi setakat ini, kebanyakannya adalah individu berusia 50 tahun ke atas.
Pakar kesihatan bimbang kerana Omicron mempunyai lebih 50 mutasi dengan 30 daripadanya melibatkan spike protein atau protein pepaku. Sesetengah daripada mutasi itu pula meningkatkan kadar transmisi (kebolehpindahan). Ahli virulogi dan pakar biologi molekul University of Nottingham-Malaysia Prof Dr Sandy Loh Hwei San berkata proses mutasi berkemungkinan menyebabkan varian itu lebih mudah menjangkiti. “Apa yang kita dapat lihat di Afrika Selatan ialah kes meningkat secara mendadak, justeru ada kemungkinan varian ini sangat mudah menjangkiti berbanding Delta,” katanya. Menurutnya, sebahagian daripada pakar menjangka kadar transmisi Omicron kira-kira lima kali ganda lebih tinggi berbanding strain asal. Negara-negara lain juga menunjukkan tanda-tanda serupa. Di Norway, sekurang-kurangnya 13 orang dijangkiti Omicron selepas menghadiri sambutan Krismas pada 26 Nov lepas dengan angka itu dijangka disemak semula kepada 60 orang. Di United Kingdom, jumlah kes meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh 24 jam, iaitu dari 160 kes pada 4 Dis kepada 246 pada hari berikutnya. Kebarangkalian strain itu mampu melepasi imuniti yang terhasil daripada vaksin dan seterusnya menjangkiti orang lain, terus meningkat. Contohnya, semua yang dikesan dijangkiti Omicron dalam kluster restoran di Norway itu telah lengkap divaksinasi serta diuji negatif COVID-19 sebelum menghadiri jamuan berkenaan. Negara-negara lain juga melaporkan jangkitan dalam kalangan individu yang lengkap dos vaksinasi. Kes pertama Omicron di Malaysia, iaitu pelajar dari Afrika Selatan itu juga telah lengkap vaksinasinya. Lebih berbahaya? Sekalipun jumlah mutasi menunjukkan kadar transmisi yang lebih pantas, tidak ada bukti tentang ia menyebabkan jangkitan yang lebih teruk. Setakat ini, tidak ada laporan tentang kematian akibat dijangkiti Omicron dan laporan awal menunjukkan jangkitan adalah kurang teruk berbanding Delta. Laporan awal mengenai pesakit dijangkiti Omicron yang dikeluarkan oleh Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan (SAMRC) pada 4 Dis lepas, menyatakan data klinikal menunjukkan VoC baharu itu menyebabkan jangkitan yang kurang teruk berbanding varian-varian terdahulu. Hanya sebilangan kecil pesakit memerlukan bantuan oksigen, mengalami pneumonia atau rawatan rapi. Tempoh dirawat di hospital juga lebih pendek berbanding pesakit yang dijangkiti varian-varian terdahulu.
Bagaimanapun, Dr Fareed Abdullah yang menulis laporan itu pantas mengingatkan bahawa lebih banyak penyelidikan serta masa dan jumlah sampel yang diperlukan untuk mengetahui kedudukan sebenar Omicron. Katanya kebanyakan pesakit pula merupakan golongan yang berusia 40 tahun ke bawah. Sementara itu, Dr Loh berkata sekalipun virus tersebut mempunyai banyak mutasi, tidak bermakna kesemua mutasi berkenaan akan bergabung dan membentuk satu virus maut. Ringkasnya, mutasi terbabit mungkin saling “membatalkan” kelebihan masingmasing. “Virus (RNA) bermutasi dengan kerap, namun belum tentu ia boleh meningkatkan virulens atau menyebabkan gejala teruk,” katanya. Bagaimanapun pakar berpendapat varian itu juga tidak boleh dilabelkan sebagai “lemah” kerana kematian boleh berlaku selepas beberapa minggu dijangkiti COVID-19. Mereka juga mendapati vaksinasi dan imuniti semula jadi iaitu antibodi yang terhasil daripada jangkitan semula jadi, boleh memberi perlindungan kepada mereka yang dijangkiti Omicron sekalipun boleh menjangkiti orang lain. Berkesankah vaksin? Pakar epidemiologi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud pula berkata jumlah mutasi varian itu luar biasa tinggi dan dilihat menggabungkan mutasi yang ditemukan pada beberapa VoC lain. “Beberapa mutasi ini telah disimulasikan di dalam makmal sebelum ini dan mutasi terbabit menunjukkan kemungkinan berupaya mengatasi antibodi yang terbentuk dalam tubuh pesakit yang pulih serta mereka yang telah divaksinasi,” katanya. Masalahnya sekarang ialah mutasi pada pepaku protein. “Yang membimbangkan kita ialah lebih 30 mutasi ditemukan pada pepaku protein. Kita gunakan pepaku protein untuk menghasilkan antibodi daripada vaksin sedia ada, justeru situasi ini amat membimbangkan, iaitu varian Omicron berkemungkinan dapat melepasi vaksin,” kata Dr Loh pula. Saintis di seluruh dunia sedang menguji keberkesanan vaksin terhadap varian itu dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu lagi. Namun, berdasarkan laporan berita berkenaan kes-kes awal, kesemua individu lengkap vaksinasi yang dijangkiti tidak menampilkan sebarang gejala atau hanya bergejala ringan, menunjukkan vaksin masih berkesan dalam melindungi daripada jangkitan teruk dan kematian. Bagi mereka yang tidak divaksinasi pula dan telah pulih daripada COVID-19, kemungkinan besar mereka akan dijangkiti sekali lagi, kali ini oleh Omicron, kata WHO. Pakar berharap kemunculan varian baharu itu akan mendorong mereka yang tidak divaksinasi mendapatkan pelalian COVID-19 dan mereka yang telah lengkap dua dos vaksin pula akan mengambil dos penggalak.
Apa yang perlu dilakukan? WHO menyarankan semua negara agar mengambil langkah-langkah, antaranya memperkukuh sistem pemantauan termasuk pemantauan genom serta sistem pelaporan masing-masing. Badan dunia itu juga menasihati semua negara dan orang awam agar terus mematuhi langkah-langkah pencegahan. Paling penting ialah vaksin dan dos penggalak, diikuti langkah-langkah farmaseutikal seperti penggunaan dua ubat baharu keluaran Merck dan Pfizer untuk merawat COVID19, dan langkah bukan farmaseutikal, antaranya pemakaian pelitup muka, menambah baik aliran pengudaraan serta amalan penjarakan fizikal. Dr Awang Bulgiba yang juga Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19, berkata penduduk lebih bersedia untuk mendepani Omicron kerana ada program vaksinasi, namun menurutnya, masih ada ruang untuk penambahbaikan. “Dalam menangani pandemik ini, pendekatan yang digunakan oleh pihak berkuasa setakat ini lebih banyak bersifat reaktif, bukan proaktif. Ini menyebabkan kejayaan yang dicapai selepas gelombang kedua terbuang begitu sahaja, namun negara tidak boleh mensia-siakan kejayaan yang diperoleh daripada program vaksinasi,” tegasnya. Menurut beliau, sebaiknya pihak berkuasa melaksanakan pendekatan “keseluruhan kerajaan” yang merangkumi kerjasama sebenar antara sektor, membabitkan pakar luar, lebih telus dalam data dan memulakan analisis data masa sebenar. Pakar kesihatan juga bimbang kit ujian kendiri COVID-19 yang hanya boleh mengesan jika seseorang dijangkiti COVID-19 mungkin “menyembunyikan” kehadiran Omicron di Malaysia. Dr Loh berkata adalah penting untuk mengesan kes Omicron bagi menghadapi kemungkinan VoC itu benar-benar lebih berbahaya daripada Delta, atau untuk mengekang penularan. “Jika tempoh transmisi virus itu lebih lama berbanding varian lain, ini bermakna tempoh kuarantin yang lebih panjang. Justeru, ujian rapid sangat-sangat membantu,” katanya. Buat masa ini, Omicron hanya boleh disahkan melalui penjujukan genom, namun ujian reverse transcription-polymerase chain reaction (RT-PCR) juga boleh menunjukkan sama ada seseorang itu dijangkiti varian tersebut. Sebuah syarikat di Singapura mengeluarkan dua kit ujian yang boleh mengesan Delta dan Omicron. Nazihah yang merupakan pakar penyelidik dasar kesihatan awam, berkata kerajaan wajar memantau keadaan dan menerima guna kit ujian yang sewajarnya. Pada masa sama, beliau mengingatkan pihak berkuasa kesihatan agar tidak terlalu menumpukan perhatian pada Omicron, sebaliknya meneruskan dan menambah baik kesemua langkah pencegahan sedia ada. “Berdasarkan bukti semasa, kerajaan perlu bertindak balas terhadap semua varian membimbangkan yang sedang menular di Malaysia, bukan sahaja Omicron,” katanya.
- Bernama
Varian baru Omicron boleh jejas pemulihan ekonomi global: IMF GENEVA: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, varian baru Covid-19 boleh "memperlahankan" dan "menjejas keyakinan" terhadap pemulihan ekonomi global seperti yang berlaku terhadap varian Delta, menurut Ketua IMF, Cik Kristalina Georgieva. "Sebelum kehadiran varian baru ini, kami juga bimbang mengenai pemulihan itu, apabila ia berterusan akan kehilangan momentumnya. "Varian baru yang mungkin merebak dengan sangat pantas boleh menjejaskan keyakinan pemulihan," katanya. Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, varian Omicron dikesan di 38 negara namun belum ada kematian dilaporkan. Ketua Saintis WHO, Dr Soumya Swaminathan, memberitahu Reuters Next, varian yang mudah merebak ini lebih mudah berjangkit dan mampu mengatasi varian Delta, yang membentuk 99 peratus daripada jangkitan yang berlaku sekarang. "Kita perlu bersedia dan berjaga-jaga, bukan panik, kerana kita berada dalam keadaan berbeza berbanding setahun lalu," kata Dr Soumya. Kewujudan varian baru akan lebih menggugat kestabilan ekonomi yang mulai pulih setelah berdepan dengan gangguan dan sekatan perjalanan demi mencegah penularan Covid-19. Menurut WHO, sekurang-kurangnya tiga minggu diperlukan untuk mengesan bagaimana jangkitan varian itu berlaku, sama ada ia boleh mengakibatkan jangkitan serius dan apakah rawatan serta vaksin yang sesuai. "Kami akan mendapatkan penyelesaian yang semua orang mahukan," kata Pengarah Kecemasannya, Dr Michael Ryan. Kajian awal oleh saintis di Afrika Selatan mendapati, varian Omicron pertama kali dilaporkan pada 24 November lalu dan dianggarkan tiga kali lebih mudah berjangkit, berbanding Delta atau Beta. Lebih 264 juta orang telah dijangkiti Covid-19 sejak ia pertama kali dikesan di tengah China pada lewat 2019 dan 5.49 juta orang maut akibat daripadanya. Di Amerika, kurang daripada 60 peratus penduduknya telah divaksinasi sepenuhnya, menjadikan negara itu mencatat kadar terendah di kalangan negara-negara kaya. - Reuters, AFP
https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2021/12/895838/kekang-virusvarian-omicron https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-kes-pertama-varian-omicrondikesan-di-malaysia-334267 https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/kes-omicron-di-malaysia-tiada-kespositif-mendadak-di-ipoh/ https://www.malaysiakini.com/news/602057 https://www.beritaharian.sg/dunia/varian-baru-omicron-boleh-jejas-pemulihanekonomi-global-imf